|
Artikel
Mastika - No. 3
Mei 2003
Pastikan nombor peribadi anda
"Fehhhh! Menarik nombor rumah itu,"
kata Ramey apabila terpandang tulisan No.1, Jalan Tempinis 1/1 – pada sebuah
banglo.
"Haiii! Ada juga manusia yang percaya nombor macam tu!"
kata Zidan yang duduk di sebelah. Mereka sama-sama ketawa, sementara Ramey terus
memandu. Kedua-dua sahabat itu terus membisu. Masing-masing memikirkan tentang
nombor. Betulkah ada nombor membawa tuah dan yang lain tidak?
"Apa yang aku tahu, orang Cina cukup taksub dengan
nombor 8 – ada ‘ong’ kata mereka," Ramey memecah kesunyian.
"Tapi apa yang aku dengar, jangan sebut itu pada orang
India, ia lambang kematian," balas Zidan. Kedua-duanya serentak
terkekeh-kekeh.
Bagaimanapun seorang ahli fizik, Prof.Dr. Norhisham Wahab
mengaku melalui kajiannya ada nombor yang membawa keburukan dan kebaikan.
"Benar, nombor ada semangat atau tenaga semula jadi yang
boleh membawa keburukan atau kebaikan. Jadi, jangan terkejut kalau ada orang
gunakan nombor tertentu untuk menjadikan dirinya bertuah.
"Setiap orang dilahirkan bersama nombor yang ada
pertalian dengan planet. Kedua-duanya akan mempengaruhi tingkah laku seseorang,"
jelas Prof.Dr. Norhisham.
Pengasas rawatan terapi warna di Malaysia ini berpendapat,
kalau seseorang tahu rahsia satu-satu nombor dan dapat menggunakan dengan betul,
insha-Allah dia akan berjaya.
"Tidak perlu jumpa bomoh-bomoh," katanya berseloroh.
Lalu Prof. Dr. Norhisham menghuraikan rahsia nombor dan kegunaannya hasil
kajiannya itu.
1 – Satu
Lambang keunggulan Tuhan. Nombor kemakmuran, keutuhan diri, kekuatan,
keberanian dan kekuasaan.
Rumah bernombor 1 akan sentiasa makmur. Tetamu suka datang
kerana suasana yang tenteram, damai dan tenang.
Kalau orang yang bernaung di bawah nombor ini, dia seorang
yang berani. Mempunyai pendirian yang kukuh, memiliki kekuatan fizikal dan
mental.
2 – Dua
Nombor ini bersifat pasangan seperti sejuk lawannya panas. Ia simbol
pengesahan, penyaksian, perkaitan, syarat menemukan jawapan semula jadi dan
jodoh.
Menurut Prof. Dr. Norhisham, bagi seseorang yang sukar
mendapat jodoh, berlindunglah di bawah nombor ini. Tidak perlu jumpa dukun atau
mandi dibawah jambatan, cukup sekadar mengingati nombor itu.
Untuk lebih mudah, ambil segelas air sejuk mentah atau air
kelapa, lebih elok air zam-zam. Tuliskan nombor 2 di luar gelas, memadai
menggunakan hujung jari. Kemudian minum, ingat nombor itu dan niatkan dalam hati
untuk mendapat pasangan.
"Lakukan tujuh kali atau tujuh hari berturut-turut.
Insha-Allah….tak sampai sebulan pasangan yang sesuai akan diperoleh,"
tambahnya lagi.
3 – Tiga
Rahsia akal, bijaksana, keceriaan, kesuburan, keseimbangan, pembalasan dan
penindasan.
Bernaung di bawah nombor ini menjadikan anda seorang yang
pintar dan bijaksana. Biasanya apabila hendak melakukan sesuatu pekerjaan akal
akan berkata-kata sama ada ia baik atau buruk.
Boleh menjadi pencipta yang baik tetapi bermula dengan
kemusnahan. Setelah melalui beberapa kegagalan baru menikmati kejayaan. Tapi
kalau putus asa, habislah.
Mudah memiliki sesuatu kekayaan, benda, rumah, kereta atau
apa sahaja tetapi mudah pula melepaskannya.
Pintar menyelesaikan setiap masalah walaupun terlalu rumit.
Seorang yang subur, mempunyai anak ramai dan ibu bapa yang baik. Paling penting
mereka ini awet muda.
4 - Empat
Nombor ini membawa simbol rupa bentuk, kesempurnaan, kemantapan kedudukan,
kewangan dan kehidupan. Lambang kekuasaan, kestabilan dan lengkap. Ia stabil dan
tidak mudah di ganggu-gugat atau dipengaruhi.
Kekuatan mereka yang bernombor 4 ialah mampu melihat melalui
daya imaginasi. Agakan mereka selalunya tepat dan kalau merancang, insha-Allah
berhasil. Ramai arkitek, jurutera dan pereka-pereka bernaung di bawah nombor ini.
5 – Lima
Simbol kreatif, intelek, mampu mempengaruhi, pemikir, bijaksana, pengkritik
dan tahap intelekual yang tinggi.
Kalau menjadi hakim, dia akan laksanakan tugas dengan
bijaksana dan dapat menyelesaikan segala masalah, perbalahan, kerumitan dan
kesusahan.
Kekuatannya adalah pada kata-kata. Mampu mempengaruhi orang
lain membuat keputusan. Pandai memujuk, merayu supaya pertelingkahan dapat
dileraikan.
Jika anda tidak mampu membuat keputusan, ingatkan 5, nescaya
mudah semuanya.
6 – Enam
Hati-hati dengan 6 jika anda lemah semangat, jangan gunakannya kerana
syaitan dan iblis mudah merasuk.
666 adalah lambang syaitan – gandaan kelemahan bagi
mereka yang lemah semangat. Tetapi 6666 pula adalah kekuatan dan
kesempurnaan kerana ia adalah bilangan ayat al-Quran.
Kalau nombor peribadi anda 6, anda suka meramal dan boleh
meramal dengan tepat. Mulut masin. Suka pada benda ghaib, boleh melihat dan
menembusi alam ghaib.
Bagi yang belum kahwin tetapi sudah mempunyai pasangan atau
idaman hati cubalah ingatkan 6 dan niatkan pada air seperti nombor 2. Percayalah
tidak sampai sebulan niat akan terlaksana.
7 – Tujuh
Inilah nombor paling baik. Selain itu ia juga lambang pembalasan, memerintah,
membangkitkan tenaga dalaman, pelindung, pemusnah dan penghalau hantu.
Insha-Allah doa mereka dimakbulkan jika mengulangi 7 kali.
Mereka juga bersifat melindungi dan mampu memerintah dengan baik. Nombor ini
digunakan untuk menghalau hantu yang meresap di dalam badan.
Caranya mudah – palitkan nombor 7 dengan menggunakan kapur
di tempat yang sakit. Ia hanya mujarab dilakukan pada malam 13, 14 dan 15 (bulan
penuh). Ataupun pelindung ibu yang sedang sakit bersalin daripada dimasuki iblis.
8 –Lapan
Orang Cina cukup suka nombor ini. Kebanyakan mereka sanggup bayar berpuluh
ribu ringgit untuk mendpatkannya – untuk plat kereta atau rumah. Memanglah
nombor itu mendorong ke arah menjadi semakin kaya tetapi sampai satu tahap jatuh
bankrap.
Sebabnya…. kerana mereka tidak tahu 8 sebenarnya bermaksud
penamat kehidupan. Bagaimanapun nombor ini memang baik jika tahu rahsianya iaitu
ia mendorong ke arah kekayaan, kemantapan, kehidupan, keadilan, sempurna,
lengkap dan akhirnya kematian.
Jika anda tidak tahu rahsia 8, jangan sesekali cuba
menggunakannya. Dari segi sains oksigen terletak dalam atom 8. Sebab itulah jika
tidak cukup oksigen orang akan mati.
9 – Sembilan
NOMBOR ini lambang kebenaran. Kerana itu polis menggunakan 999? Ia juga
lambang tenaga yang kuat. Sebab itulah ia disimbolkan sebagai perjuangan,
kepahlawanan, peperangan dan pertikaian. Bagaimanapun mereka yang bernaung di
bawahnya mudah terlanjur dalam perbuatan dan percakapan atau suka lepas cakap.
Tapi, jangan bimbang….walaupun mudah terlanjur tetapi anda
seorang yang cukup sempurna dalam hal ilmu keduniaan. Nombor ini boleh digunakan
untuk mencari semula barang yang hilang. Ingat nombor 9, barang yang hilang akan
jumpa semula, jika tersalah simpan!
10 atau 0
Sombol keabdian Yang Mencipta, Maha Kuasa. Kebesaran yang tidak dapat diukur
dengan apa sekali pun. Tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran – tiada
penamat. Ia sentiasa akan berlingkar dalam pusingan yang sama tanpa ada titik
akhir.
Satu nombor yang cukup kuat, tidak mampu dikalahkan oleh
segala ilmu yang ada. Tidak ada orang bernung dibawahnya. Hanya Ppencipta
memilikinya.
Menurut Prof. Dr. Norhisham, mengetahui nombor peribadi
penting kerana melaluinya kita dapat mengenal diri. Hidup akan lebih teratur,
sentiasa berwaspada ketika membuat perhitungan dan insha-Allah… tidak wujud
penyesalan.
Kita tidak perlu mencari Tok Piah, Kam tukang tilik, minyak
cenduai Batin Yat atau bertemu bomoh fotostat bagi mencari barang hilang. Anda
mampu meramal masa depan sendiri, menghalau hantu, mencari pasangan dan mendapat
kekayaan.
Semuanya akan menjadi nyata kalau anda tahu apa rahsia nombor
peribadi anda. Nak tahu nombor peribadi? Formula secara ringkasnya: Campurkan
tarikh lahir anda. Misalnya 12-12-1969à
1+2+1+2+1+9+6+9 = 31 ( 3+1=4) Jadi nombor peribadi anda adalah 4.
Tetapi itu bukanlah perkiraan yang tepat. Ia hanya
anggarankasar sahaja. Ujian secara rohani diperlukan kerana hanya kita yang tahu
rahsia sendiri.
|